Existing Member?

SEHARUM KEMBOJA Paparan Perjalanan Dan Pengembaraan. Assalamu'alaikum.Anda dijemput menyertai. Sudikah anda?

BANTUAN (SEDEKAH) BULANAN

CAMBODIA | Wednesday, 6 January 2010 | Views [847]


(Catatan Kedua)

Kalau tidak silap ingatan, kira-kira sudah 4 hingga 5 tahun berlalu, saya secara peribadi dan rutin setiap bulan menghulurkan bantuan kecil kepada masyarakat di Kemboja. Tepatnya kepada ustaz dan penduduk kampung Ampel, Kompong Cham, Kemboja. Saya bantu dengan mengirimkan wang, kain sarung wanita dan lelaki, kain solat wanita dan sedikit alatulis.

Saya sedekahkan duit itu untuk 'elaun' tiga orang Ustaz yang sukarela menganjurkan dan mengajar di Kelas Fardhu Ain di Kampung Ampel. Menariknya bukan sahaja mengajar agama, juga mengajar Bahasa Melayu (membaca dan menulis tulisan rumi dan jawi). Kelas ini diadakan pada waktu pagi untuk murid-murid yang bersekolah (sekolah kerajaan) pada waktu petang; dan juga pada waktu petang untuk murid-murid yang bersekolah pada waktu pagi.

Dari mana wang? Saya pungut dari kawan saya iaitu Encik Zulhelmi Kazin seorang usahawan juga boss Ar Raihan Food Industri S/B sebanyak RM100 setiap bulan. Lagi RM100 disumbangkan oleh kawan rapat saya iaitu Ahmad Fadhilah Mohamad, editor buku di sebuah penerbitan di Kajang, Selangor. Selebihnya, saya sendiri iaitu RM100.

Bagaimanapun saya menghadapi masalah teknikal untuk 'mengutip' setiap bulan dari kawan-kawan itu. Tidak sampai setahun saya memungut dari kawan-kawan. Sudahnya saya sendiri yang menghulurkan setiap bulan sebanyak RM300. Padahal ketika itu ramai lagi ustaz-ustaz dari Kelas-kelas Fardhu Ain seumpama itu bukan saja di kampung Ampel juga kampung-kampung bersebelahan, memohon. Namun saya berasa 'tidak mampu'.

Boleh dikatakan setiap bulan saya menghulurkan sedekah berupa wang tunai itu. Saya kirim melalui kawan rapat saya yang tinggal di Kampung Ampel itu. Namanya Saari. Beliau ini seorang peniaga yang berulang alik Kemboja-Malaysia kerana urusan perniagaan. Beliaulah yang memohon bantuan ini lalu kepadanya saya kirimkan. Sebagai makluman, gaji bulanan permulaan guru sekolah kebangsaan kerajaan di Kemboja ialah kira-kira RM100. Ini bermakna elaun ustaz-ustaz itu sudah menyamai elaun guru sekolah kerajaan!

Dengan adanya sumbangan begitu, ustaz-ustaz pun dapat menumpukan lebih banyak masa terhadap khidmat sukarela berkenaan. Jika tidak, ia banyak terganggu kerana terpaksa bertani, bercucuk tanam, berternak dan sebagainya. Hanya pada 'masa terluang' saja bertugas mengajar.

Malangnya kira-kira setahun kebelakangan ini saya mengalami masalah kewangan yang teruk. Dalam tempoh setahun ini sekali dua saja saya dapat menghulur 'bantuan' berupa sedekah tadi. Raya Haji yang lalu (2009) saya cuma dapat kirimkan 10 pasang kain solat wanita, dan 3 helai kain sarung lelaki.

Bukan saja wang tunai, juga setiap tahun menjelang Raya Puasa, saya kirimkan (sedekahkan) kain sarung wanita dan kain pelaikat (lelaki) bukan saja kepada Ustaz-ustaz bertiga juga kepada penduduk. Sebahagiannya saya minta sumbangan sebuah NGO iaitu Jam'iyah (Persekutuan Seruan Islam Selangor & Wilayah Persekutuan) yang mana setiap menjelang Raya Aidilfitri menghulurkan wang tunai dan kain kepada fakir miskin.

Antara yang menarik pernah saya hulurkan wang tunai kepada tiga beradik yang bisu (satu lelaki dua perempuan) dan mereka ini yatim piatu. Pendapatan mereka mengambil upah mengerjakan sawah, kebun dan sebagainya. Yang rasmi ialah menjahit jala (jaring ikan).

Satu lagi, ada seorang nenek tua (sangat tua) hidup sebatang kara di sebuah pondok kecil yang beratap rami. Kepadanya saya kirimkan wang (tapi sekali saja). Satu lagi sepasang suami isteri yang diam berdua saja di rumah dan sudah terlalu tua. Mereka tidak ada sanak saudara. Juga saya hulurkan. Tapi sayang, cuma sekali saja.

Berbalik Kelas Fardhu Ain tadi, selain wang tunai masing-masing RM100 juga saya biaya (sekali saja - diberi dengan permintaan) pembelian 'hadiah' untuk pelajar yang lulus peperiksaan.

Kepada penduduk berdikit-dikit saya sedekah kain, pakaian solat wanita dan pernah juga sekali dua, buah khurma. Biasanya buah begini disedekah ketika bulan Ramadhan. Oh yang dalam bulan Ramadhan ini pernah dua kali saya taja biaya membeli petrol. Sebabnya mereka perlukan banyak petrol untuk menghidupkan generator bekalan elektrik surau dan masjid. Di sana tiada bekalan elektrik oleh pihak kerajaan melainkan secara individu diusahakan. Dalam bulan Ramadhan, mereka juga melakukan ibadat solat terawikh. Ketika ini memerlukan banyak petrol berbanding biasa. Ada juga satu kali saya hulurkan 'korban' untuk sembelihan lembu pada hari raya Aidil Adha. Ketika itu biaya 'satu bahagian' ialah RM150 walaupun orang lain mengenakan (sehingga) RM280.

Ada sekali saya hulurkan RM500 kepada Ustaz Lukman kerana pada masa itu beliau bakal menikah. Jadi, katanya cukuplah untuk menampung sebahagian besar harga seekor lembu yang disembelih untuk majlis pernikahan beliau. Hari ini beliau sudah mempunyai seorang anak - anak lelaki.

Tags: catatan kedua

About seharum-kemboja


Follow Me

Where I've been

Photo Galleries

My trip journals


See all my tags 


 

 

Travel Answers about Cambodia

Do you have a travel question? Ask other World Nomads.